Monday 24 October 2016

Pengembaraan Imam Nawawi




PENGEMBARAAN IMAM NAWAWI

Kerana kecergasan dan kebaikan yang ada pada  Imam Nawawi dari sejak kecil lagi telah diramal oleh ulama, akan menjadi penegak agama. ketika sedang duduk dengan ayahnya, beliau dinasihati supaya rajin membaca al-quran , maka bermulalah beliau menghafal al-quran sambil mendekati para ulama untuk meneladani  akhlak dan kebiasan mereka. Kebiasaan bermain ditinggalkan oleh Imam Nawawi  walaupun telah diajak  oleh kawan-kawan beliau sehingga beliau menangis kerana dipaksa untuk bermain.


Ketika umur 19 tahun Imam Nawawi  dibawa oleh ayahnya ke Damsyik (Syria) untuk menuntut ilmu di al-Madrasah  Al-Rawahiyyah. Di sini, beliau menghafal kitab Tanbih al-Syirazi dalam masa 4 bulan setengah dan menghabiskan bakinya digunakan untuk menghafal satu perempat daripada  kitab al-Muhazzab iaitu dalam bab ibadat.


BELAJAR 12 SUBJEK SEHARI

Beliau belajar dari pagi hingga ke malam. Beliau belajar 12 subjek dalam sehari, meliputi pelbagai disiplin ilmu dengan ramai guru. Kebetulan pada zaman beliau, ramai ilmuan terkenal. Jadual beliau yang begitu padat dalam belajar ini, di samping  banyak masa dihabiskan dengan mengarang, memberi komentar, menghurai atau beribadah pada waktu tengah malam sehingga tiada waktu untuk aktiviti-aktiviti lain.

Murid Imam Nawawi iaitu, Ibnu al-‘Attar ada menceritakan tentang Imam Nawawi ketika berada di alam pengajian. Setiap hari, Imam Nawawi menghadiri  12 kelas pengajian dengan gurunya ; dua kelas mempelajari kitab al-wasit karya Imam Ghazali, satu kelas kitab al-Muhazzab karya as-Syairazi, satu kelas kitab al-Jam’u baina as- shahihain karya al-Humaidi, satu kelas kitab shahih Muslim, satu kelas kitab al-Luma’ karangan Ibnu Jinni dalam Ilmu Nahu, satu kelas kitab Islah Mantiq karangan Ibnu as-Sikkit dalam ilmu lughah, satu kelas pengajian soraf, satu kelas pengajian Usul Fiqh, satu kelas pengajian Asma’ al-Rijal dan satu kelas dalam pengajian Usuluddin. Kemudian beliau  membuat semua catatan gurunya dan mensyarahkan sesuatu kemusykilan atau menerangkan ungkapan  dan  istilah yang susah untuk difahami.

Gemar beliau kepada ilmu mengatasi yang lain. Justeru, tidak pelik dalam jangka waktu sekitar 6 tahun sahaja belajar, Imam Nawawi sudah menguasai pelbagai disiplin ilmu. Kegigihan beliau dalam belajar membuatkan beliau tidak sempat untuk berfikir tentang soal perkahwinan. Beliau meninggal dalam usia yang begitu muda, iaitu pada usia 45 tahun dalam keadaan masih bujang, tetapi meninggalkan legasi ilmu warisan beliau bermanfaat dan terus dijadikan panduan hingga zaman ini.


KARYA-KARYA IMAM NAWAWI

DALAM BIDANG HADIS

·         Al-Arba'in An-Nawawiyah
·         Riyadhus Shalihin.
·         Al-Minhaj (Syarah Shahih Muslim)
·         At-Taqrib wat Taysir fi Ma’rifat Sunan Al-Basyirin Nadzir


DALAM BIDANG FIQH

·         Minhaj ath-Thalibin
·         Raudhatuth Thalibin,
·         Al-Majmu` Syarhul Muhazzab
·         Matan al-Idhah fi al-Manasik  

DALAM BIDANG BAHASA

·         Tahzibul Asma’ wal Lughat.


DALAM BIDANG AKHLAK

·         At-Tibyan fi Adab Hamalah al-Quran
·         Bustanul Arifin,
·         Al-Azkar

KARYA IMAM NAWAWI DAN LAIN-LAIN

·         Tahzib al-Asma
·         Ma Tamas Ilaihi Hajah al-Qari li Shahih al-Bukhari
·         Tahrir al-Tanbih
·         Adab al-Fatwa wa al-Mufti wa al-Mustafti
·         At-Tarkhis bi al-Qiyam


Selepas imam Nawawi meninggal dunia, sebelum sempat menyiapkan kitabnya yang terkenal, al-Majmu’, beberapa orang sarjana Islam menyambung penulisannya. Antaranya Syeikh Taqiyuddin as-Subki. Beliau menyebut satu perkara penting tentang rahsia kehebatan Imam Nawawi dalam menghasilkan karya penulisan. Kata beliau, untuk menulis seperti hebatnya Imam nawawi menulis, memerlukan 3 perkara, iaitu :

  • Faragh al-bal wattisa’ azzaman (akal yang tidak banyak memikir hal lain dan kelapangan masa). Imam Nawawi memenuhi ciri tersebut kerana beliau tidak beisteri  dan bekeluarga.
  • Mengumpulkan semua kitab yang boleh membantu meneliti pandangan-pandangan para ilmuan dan sarjana Islam. Imam Nawawi berjaya melakukan yang demikian kerana kemudahan yang ada di tempatnya pada masa itu.
  • Niat yang baik, bersifat wara’ dan zuhud serta  amal soleh yang menyinari hidupnya. Keikhlasan ini adalah  asas utama dalam hidup beliau dalam memastikan apa yang beliau lakukan semata-mata hanya untuk mendapatkan keredhaan Allah.

KEWARAKAN IMAM NAWAWI

Imam Nawawi dalam menjaga kesucian ilmunya, beliau amat menjaga dalam makan dan minum serta tidak menggunakan sebarangan barang dan dalam hal-hal yang lain. Beliau hanya makan makanan yang disediakan oleh pihak Madrasah al-Rawahiyyah ataupu makanan yang dikirim oleh ayah dari kampung. Kadang-kadang, dengan rezeki tidak banyak itu, beliau jugamasih lagi bersedekah kepada fakir miskin. Pada waktu malam digunakan untuk beribadat kepada Allah serta mengarang kitab.


RUJUKAN

1.      Drs. Tarmana Ahmad Qosim, Menjaga Kemulian Al-Quran Adab dan Tata-Caranya, Bandung : Penerbit  Al-Bayan,1996
2.      Hairul Idham @ Ramadhan Awang  et al., Pewaris Anbia Personaliti Tersohor Sejak 571 Hingga Kini, Percetakan Zafar Sdn Bhd, 2013.
3.      Muhammad Hafiz Mat Tajuddin, Personaliti Ilmuan Islam Berjaya, Kuala Lumpur : Pelima Media Sdn Bhd, 2012.

4.      Syed Ahmad Semait, Tata-Tertib Pengajian Al-Quran, Singapura : Pustaka Nasional Ptle Ltd Singapura, 1999.